KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah hari ini melancarkan Pelan Anti Rasuah (OACP) dalam usaha memastikan setiap sen dana Kerajaan Negeri dapat dinikmati rakyat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, pelan itu ditubuhkan bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun 2022 sehingga tahun 2026.
“Pelan ini merangkumi tiga (3) strategi, empat (4) objektif strategik dan 17 inisiatif yang amat signifikan dalam untuk membentuk sebuah negara yang bebas rasuah…
“Ia juga dapat membantu menangani isu governans, integriti dan anti rasuah dalam kalangan warga kementerian dan pejabat-pejabat daerah.
“Tindakan punitif boleh diambil terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan demi kepentingan peribadi,” katanya di Dewan KPLB di Sembulan sini.
Dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran OACP Dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPLB pagi tadi, beliau berkata “cabaran” tersebut memang wujud terutama sekali sebagai seorang penjawat awam.
Katanya, wujud orang di luar sana yang sengaja cuba meruntuhkan kerjaya dan nama baik seseorang penjawat awam itu dengan bermain kotor.
“Selain membuat kerja dengan ikhlas, sentiasa ikut garis panduan yang telah ditetapkan dan nyatakan dengan spesifik pada Bill of Quantity (BQ) serta skop kerja masing-masing agar dapat mengelak sebarang masalah,” nasihat beliau.
Jahid yakin semua pegawai daerah dan kakitangan dalam KPLB menerap nilai integriti tinggi dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan niat yang jelas.
“Kementerian sangat berharap dengan penubuhan dan pelancaran pelan ini, imej dan kualliti perkhidmatan awam negeri dan kementerian serta pejabat-pejabat daerah khususnya dapat dimantapkan ke arah menjadikan penjawat awam yang efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada pelanggan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, S Karunanithy yang turut hadir mendapati banyak perubahan ketara dengan langkah yang diambil Kerajaan Negeri seperti program Minggu Integriti di setiap Kementerian.
“Pembudayaan integriti dalam penjawat awam di Sabah telah menunjukkan peningkatann dan ini petanda baik kepada negeri…
“Usaha bagi mengelak ketirisan sudah digariskan dalam pelan ini dan ia akan berhasil jika menjadi amalan,” kata beliau.
Berdasarkan data tangkapan oleh SPRM, Malaysia telah menunjukkan penurunan trend rasuah dalam tempoh 3 tahun yang lalu (2019-2021).
Amalan rasuah melibatkan sektor awam pada 3 tahun lalu juga telah menurun daripada 525, 467 serta 411 masing-masing pada 2019, 2020 dan 2021.
Penjawat awam adalah diantara golongan yang berisiko tinggi terhadap kesalahan rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.