Pesara Disaran Bijak Guna Masa Terluang -Ariffin

Pesara Disaran Bijak Guna Masa Terluang -Ariffin

0
SHARE
Arifin
Antara para pesara yang menerima sijil penghargaan daripada Arifin (dua dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Para pesara disaran menggunakan masa terluang dengan bijak melalui aktiviti-aktiviti bermanfaat dan menguntungkan diri, keluarga serta masyarakat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, berkata fasa persaraan memberi ruang waktu kepada pesara untuk melaksanakan program atau apa-apa jua aktiviti yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan waktu bertugas.

“Saya sebutkan perkara ini kerana ada kalanya terdengar komen segelintir pesara yang merasa kekosongan aktiviti dalam menjalani kehidupan selepas bersara.

“Persaraan bukanlah titik noktah bagi seseorang untuk memberi sumbangan terhadap kemajuan negara kerana sektor pendidikan telah membuka pelbagai peluang kepada pihak yang mempunyai kelebihan dalam bidang ini untuk terus menabur bakti,” katanya semasa merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2023, ‘Sesaat Bersama Seabad Terasa’ di sini, pada Rabu.

Ariffin yang juga Exco Pendidikan mendedahkan statistik dan pemerhatian menunjukkan masih terdapat sebilangan pelajar yang memerlukan bantuan dalam pelbagai bentuk daripada para pesara.

Seramai 140 pesara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu diraikan dalam majlis yang turut dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Suhaimi Matsah dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan) JPNS, Ajijah@Azizah Baba. — JABATAN PENERANGAN SABAH