Bil Musa Kembali Tampil Dengan Karya Baharu ‘Pentas’

Bil Musa Kembali Tampil Dengan Karya Baharu ‘Pentas’

0
SHARE
Bil
Bil Musa ( Sumber Foto: Ihsan Armani Entertainment Group )

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penggubah indie terkenal, Bil Musa kembali dengan single baharu berjudul ‘Pentas’ hasil garapan komposer terkenal, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat.

Single baharu terbabit diterbitkan oleh syarikat rakaman terkenal, Armani Entertainment Group (AEG).

Pemilik nama sebenar Nabilah Musa, 30, berkata beliau mengakui ramai yang ‘terkejut’ apabila sebelum ini, lagu ‘Pantang’ dilancarkan yang dihasilkannya sebelum ini disifatkan ‘catchy’ dan sedikit lari dari genre indie.

“Sudah tentu, peminat lebih mengharapkan saya kembali kepada stail yang terdahulu dengan komposisi lagu-lagu ‘healing’ yang lebih sinonim dengan saya sebagai seorang pengkarya muzik,” katanya.

Mengulas mengenai lagu ‘Pentas’, Bil berkata ia merupakan lagu berunsurkan kerohanian.

“Idea asal lagu ini datang dari komposernya sendiri yang mahukan sebuah karya tentang hubungan manusia dengan Sang Pencipta dalam perjalanan hidupnya.

“Kali pertama mendengar demo lagu ‘Pentas’, hati terus terpaut padanya, rasa sebak pun ada juga. Bagi mereka yang sudah lama mengikut perjalanan seni saya faham bahawa laluan saya bukanlah ‘linear’ kerana walaupun mempunyai peminat tegar, muzik saya seakan tidak ‘sampai’ di Malaysia.

“Agak susah bagi penyanyi indie seperti saya untuk menyentuh jiwa pendengar secara umumnya.

“Lagu ‘Pentas’ bagi saya sangat ‘relatable’ kerana ia menceritakan tentang perjalanan hidup seseorang yang ‘lost’ atau kehilangan arah dan terpaksa menghadapi cabaran, namun dengan kuasa iman, beserta sifat tidak mudah menyerah kalah, dan kepercayaan yang masanya akan tiba suatu hari nanti,” katanya.

Lagu bernuansa balada pop ini dinyanyikan Bil dengan stail ‘signature’ yang tersendiri namun padat dengan maksud yang mendalam.

Katanya lagi, lagu tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk dirakamkan kerana memerlukan konsentrasi serta penghayatan yang tinggi.