362 Kes Keganasan Rumah Tangga Setakat Oktober 2023

362 Kes Keganasan Rumah Tangga Setakat Oktober 2023

0
SHARE
Flovia
Flovia(tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama para hadirin ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 362 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Sabah sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata statistik Jabatan Siasatan Jenayah (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menunjukkan peningkatan berbanding hanya 301 kes dilaporkan pada tahun lepas.

“Ini amat membimbangkan kerana implikasi atau kesan keganasan kepada mangsa amat berat sama ada dari aspek fizikal mahupun mental mereka.

“Usaha memerangi keganasan ini juga bukanlah mustahil tetapi memerlukan komitmen serta rasa tanggungjawab daripada seluruh warga Sabah.

“Oleh itu, pihak berkaitan terutama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) perlu melaksanakan lebih banyak program kesedaran bagi memberi pendedahan kepada rakyat berkenaan isu keganasan terhadap wanita,” ucapnya semasa merasmikan Program Sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita “Sleeping with The Enemy:Keganasan Terhadap Wanita” di sini, pada Rabu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Menurut James, bagi memastikan agenda menghentikan keganasan terhadap wanita dapat dilaksanakan dengan berkesan dan holistik, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) melalui JHEWA turut menggerakkan kempen We Eliminate Violence Against Women (WeVAW).

“WeVAW telah dimasukkan dalam program Flagship Outreach Santuni Wanita dan akan dilaksanakan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025 di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ),” ujarnya.

James turut berharap JHEWA akan terus berusaha mencapai sasaran tersebut dan konsisten walaupun selepas program flagship berakhir nanti.

Program sokongan sosial “Sleeping With the Enemy: Keganasan Terhadap Wanita” diadakan bersempena dengan International Day for the Elimination of Violence Against Women disambut pada 25 November setiap tahun.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Maria Chong dan Pengarah Jhewa, Haslina Ismail. — JABATAN PENERANGAN SABAH