KOTA KINABALU: Sabah mencatat RM10.9 bilion pelaburan diluluskan dalam suku pertama 2025, melebihi jumlah keseluruhan tahun 2024, menurut laporan terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sabah kini berada di kedudukan ketiga tertinggi di negara ini dari segi jumlah pelaburan, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) menjadi penyumbang utama dengan RM6.6 bilion atau 61 peratus, manakala Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang RM4.29 bilion (39 peratus).
Sektor pembuatan muncul sebagai penerima pelaburan tertinggi dengan jumlah RM7.3 bilion, menjadikan Sabah penerima utama pelaburan pembuatan negara bagi suku tersebut.
Daripada jumlah itu, RM6.59 bilion (91.3 peratus) adalah dari pelabur asing, manakala RM711 juta (9.7 peratus) merupakan pelaburan domestik.
Sektor perkhidmatan menarik RM2.83 bilion dan sektor utama mencatat RM757.1 juta.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negeri.
“Meskipun ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan geopolitik, Sabah kekal sebagai hab pelaburan yang kompetitif dan dipercayai.
“Prestasi ini membuktikan dasar strategik kita membuahkan hasil yang nyata.
“Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelabur dan melaksanakan agenda pembangunan industri secara menyeluruh dan mampan,” katanya lagi.






