Pelancong China Dikecam Kutip Tapak Sulaiman di Perairan Kota Kinabalu

Pelancong China Dikecam Kutip Tapak Sulaiman di Perairan Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengecam tindakan seorang pelancong dipercayai warga China yang mengutip tapak sulaiman ketika menaiki papan dayung di perairan Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata insiden yang tular di media sosial itu dipandang serius kerana bertentangan dengan prinsip ekopelancongan yang menekankan pemuliharaan hidupan marin sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pelancongan lestari.

“Hasil siasatan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah mengesahkan kejadian berlaku di perairan Tanjung Aru, di luar kawasan Taman Tunku Abdul Rahman, dan melibatkan sebuah syarikat pelancongan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 30 ekor tapak sulaiman yang dikenali sebagai spesies tapak sulaiman bertanduk atau ‘Chocolate Chip Sea Star’ (Protoreaster nodosus) telah dikutip dalam kejadian itu.

“Spesies ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.

“Pengumpulan secara sewenang-wenangnya boleh mengganggu keseimbangan halus ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa setiap pengendali pelancongan perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan pelancong serta kakitangan mereka mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan, terutamanya berkaitan perlindungan hidupan laut.

“Kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan ini amat penting demi kelestarian ekosistem marin untuk kesejahteraan generasi akan datang,” tegasnya.

Christina turut memberi amaran bahawa Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi di Sabah.

“Kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan berhubung isu ini,” tambahnya.