Laporan Polis Dibuat Warisan Terhadap Projek Esteel, Merosakkan Keyakinan Pelabur – Phoong

Laporan Polis Dibuat Warisan Terhadap Projek Esteel, Merosakkan Keyakinan Pelabur – Phoong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong membuat laporan polis terhadap projek keluli RM31 bilion Esteel di Sipitang sebagai pelik dan merosakkan keyakinan pelabur.

“Dengan sikap seperti itu, tidak hairan pelabur ragu-ragu datang ke Sabah,” katanya mengulas dakwaan Chong kononnya tiada perkembangan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Calvin dari Parti Warisan membuat laporan selepas melawat tapak bersama ADUN Sri Tanjong, Justin Wong pada Selasa.

Phoong menyelar pendekatan itu, menyatakan isu sedemikian sepatutnya dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau melalui saluran rasmi.

“Kalau ada persoalan, datang ke DUN. Tanya saya terus, saya bersedia jawab. Tapi bila buat laporan polis, ia seolah-olah menuduh kerajaan atau pelabur menipu. Itu serius dan tidak wajar,” katanya.

Beliau menegaskan projek Esteel sah dan telah disahkan agensi persekutuan serta dilancarkan oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri pada 30 Mei.

Lesen Pembuatan Persekutuan diperoleh pada Januari, perjanjian bekalan gas ditandatangani Februari, dan kontrak pembinaan jeti dianugerahkan kepada CCCC pada Mei.

Phoong turut memaklumkan Esteel telah membayar deposit RM35 juta serta menandatangani perjanjian pajakan, dan pembinaan dijangka bermula Julai atau Ogos.

Beliau menjelaskan kelewatan berpunca daripada moratorium lesen keluli peringkat persekutuan akibat lebihan bekalan global, namun Esteel satu-satunya projek diberi pengecualian diatas keyakinan kukuh daripada kerajaan pusat.

“Tiada negeri lain layan pelabur sebegini. Tindakan ini boleh jejaskan usaha pelaburan Sabah yang telah kita bina. Isu pelaburan tak wajar dipolitikkan,” katanya.

“Di negeri lain seperti Kedah atau Selangor, pergolakan politik berlaku dalam dewan. Seret nama pelabur sah ke siasatan polis bukan saja tak adil, tapi bahaya. Ianya mencipta ketidaktentuan,” tegasnya.