Liputan 4G Sabah Meningkat 88.06% Sehingga Suku Pertama Tahun Ini

Liputan 4G Sabah Meningkat 88.06% Sehingga Suku Pertama Tahun Ini

0
SHARE
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Yakub Khan...

KOTA KINABALU, SABAH – Peratusan liputan 4G dikawasan berpenduduk negeri Sabah telah meningkat kepada 88.06 peratus berbanding 73.41 peratus sehingga suku pertama tahun ini sebelum pelaksanaan Jaringan Digital Nasional (JENDELA) pada suku kedua 2020.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Yakub Khan berkata sasaran JENDELA Fasa 1 adalah memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 90 peratus di kawasan yang berpenduduk.

“Setakat suku ketiga 2022, sebanyak 154 buah daripada 611 buah menara baru yang dirancang telah siap dibina. Sebanyak 3,810 buah menara telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,984 buah menara yang dirancang…

“Manakala bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap, sebanyak 134,116 premis daripada 251,165 premis telah disediakan sambungan gentian optik berkelajuan gigabit.

“Bagi memastikan capaian internet yang laju dan lancar di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan telah melaksanakan sebanyak 138 buah projek jalur lebar satelit yang telah siap beroperasi sepenuhnya pada April tahun ini.

“Projek ini dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini. Sebagai usaha melengkapkan program JENDELA, KSTI telah memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 24 lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jannie Lasimbang (DAP – Kepayan) berkenaan status perkembangan usaha memastikan talian internet lancar dikawasan luar bandar ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, Yakub turut memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) telah meluluskan pemasangan 300 VSAT pada tahun hadapan.

“Ini membuktikan hubungan erat di antara KSTI dan KKOMM dalam memastikan kesalinghubungan internet termasuk infrastruktur digital di Sabah diperkasakan,” katanya.