Penduduk Jordan Sanggup Dipenjarakan Akibat Tidak Bayar Hutang

Penduduk Jordan Sanggup Dipenjarakan Akibat Tidak Bayar Hutang

0
SHARE

JORDAN – Kerajaan Jordan berdasarkan satu perangkaan yang dibuat baru-baru ini menyatakan bilangan penduduk di negara ini yang berdepan dengan hukuman penjara akibat tidak membayar hutang meningkat dari 4,352 orang pada tahun 2015 kepada 43,624 orang pada tahun 2019.

Ini kerana, mereka (penduduk Jordan) sanggup untuk dipenjarakan kerana tidak mampu membayar hutang akibat menghadapi krisis kewangan yang teruk.

Menurut laporan pertubuhan hak asasi manusia iaitu Human Right Watch (HRW) pada Mac lalu, lebih suku juta penduduk di negara beraja itu berdepan dengan masalah tuntutan hutang atau gagal melunaskan hutang mereka.

Memetik laporan AFP, seorang penyelidik Asia Barat untuk HRW iaitu Sara Kayyalidi berkata; “di bawah undang-undang Jordan, jika anda berhutang dan anda tidak mampu untuk membayarnya, anda akan dipenjarakan.”

“Dalam kebanyakan kes, orang ramai akan berhutang untuk membayar sewa, membeli barangan runcit dan membayar bil perubatan. Namun, di sebalik membantu golongan yang memerlukan, pihak berkuasa pula memenjarakan mereka,” tambahnya.

Namun, Sara melaporkan bahawa memenjarakan penduduk kerana mereka tidak mampu membayar hutang merupakan satu pencabulan di sisi hak-hak asasi manusia kerana ia boleh memburukkan lagi kitaran berhutang.

Tambahnya lagi, Jordan perlu memansuhkan hukuman penjara kerana berhutang dan melaksanakan langkah alternatif yang menghormati hak-hak asasi manusia penduduk serta membantu ekonomi negara berkenaan.

Kira-kira 16 peratus daripada penghuni penjara, kira-kira 2,630 orang berada di dalam jel kerana tidak mampu membayar hutang dan menulis cek tendang pada tahun 2019.

Di negara tersebut, seseorang yang berhutang dengan jumlah yang kecil boleh dipenjarakan sehingga 90 hari manakala menulis sekeping cek yang tendang akan membawa hukuman setahun penjara.

Bagaimanapun, penduduk di Jordan yang mengalami masalah hutang tidak mengambil jalan keluar mudah dengan mengisytiharkan diri sebagai bankrap.

Mengambil respon daripada seorang penjaja kecil yang menjual minyak wangi dan kosmetik bernama Majdi Mohammad berkata, ketika pandemik COVID-19 melanda, dia hanya mempunyai hanya mempunyai 247 dinar (RM1,447) untuk membayar hutang sebanyak 6,000 dinar (RM35,154) yang dipinjamnya pada tahun 2018.

Majdi yang berusia 53 tahun kemudian memberitahu kepada AFP bahawa peminjam wang tersebut kemudian membuat aduan kepada mahkamah dan dia kini sedang menunggu keputusan mengenai nasibnya itu.

Dia juga mendedahkan ribuan penduduk Jordan telah melarikan diri ke Mesir, Turki dan Georgia bagi mengelak hukuman penjara kerana tidak mampu untuk melunaskan kembali hutang mereka.

Menurutnya, sebahagian penduduk berhutang di negaranya yang melarikan diri ke luar negara kerana tidak mahu dihukum penjara menghadapi kesukaran hidup di negara asing.

Tambahnya lagi, ada sebahagian mereka yang tinggal di bawah jambatan dan parkir kenderaan awam di luar negara.

Namun, bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara akibat COVID-19, Majlis Kehakiman Jordan mengumumkan pada Mac tahun lalu bahawa ia akan menangguhkan hukuman penjara ke atas mereka yang berhutang di bawah 100,000 dinar (RM586,015).

Majlis itu kemudian membebaskan mereka yang berada di dalam penjara kerana berhutang tetapi akan menyambung semula hukuman penjara sehingga akhir tahun ini.