KOTA KINABALU, SABAH – Taktik pihak tertentu yang cuba menjatuhkan wakil rakyat dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini lebih berunsurkan jenaka dan fitnah dengan mendakwa Datuk Seri Bung Moktar Radin menjamu hidangan makanan bersama telur penyu.
Bung turut menyelar tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang disifatkan ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila sering melemparkan fitnah terhadapnya.
Katanya, tindakan fitnah yang dilemparkan kepadanya baru-baru ini dilihat semata-mata mahu mewujudkan persepsi yang tidak baik dan langkah murahan demi kepentingan peribadi.
Ini selepas tular sekeping gambar di laman media sosial Facebook yang menunjukkan beliau menikmati hidangan makanan bersama telur penyu. Namun, beliau memaklumkan bahawa gambar berkenaan telah disunting (edit) oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan karier politiknya.
“Ini adalah fitnah yang telah dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan karier politik saya selain perkara ini amat tidak bertamadun…
“Gambar ini sudah lama sebulan yang lalu, sememangnya ini tidak betul,” katanya ketika dihubungi disini, malam tadi.
Bung berkata, pegawai pembangunan komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dikenali sebagai Rezo turut membuat penafian perkara berkenaan di akaun Facebook miliknya dan turut dikongsi semula oleh beliau.
“Telur itu bukanlah telur penyu yang dikatakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, tetapi itu adalah telur ayam yang sudah direbus dan dikupas untuk hidangan makan. Selain itu saya bukan penggemar telur penyu kerana kandungan kolesterol yang tidak baik untuk kesihatan saya…
“Saya juga sedia dipanggil pihak berwajib untuk siasatan jika perlu susulan dakwaan kononnya saya makan telur penyu,” katanya.
Terdahulu, sejak kelmarin telah tular satu foto dimuatnaik pengguna Facebook memperlihatkan Bung sedang bergambar dengan seorang individu di meja makan di mana salah satu juadah didakwa segelintir pihak mirip kepada telur penyu.
Untuk rekod, pengambilan telur penyu di negeri ini adalah dilarang di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk siasatan lanjut.