PENAMPANG: Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun serta merampas cecair dan daun disyaki ketum dalam satu operasi di daerah Putatan, pada Jumaat (19 Jun).
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang hasil maklumat awam.
“30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung putih mengandungi dedaun hijau dipercayai daun ketum turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM975 dan pihak polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.






