KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam sebagai keterlaluan.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, sambutan penuh kemeriahan, keceriaan dan simbolik yang berlebihan itu menimbulkan persoalan besar apakah Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu dan bukan prinsip kemanusiaan.
“Seperti yang saya telah peringatkan di Dewan Rakyat tempohari, tidak wajar Trump diberikan sambutan meriah di bumi Malaysia tatkala rakyat Palestin sedang bermandi darah dan mati kebuluran di bumi Gaza.
“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang secara terbuka bersekongkol dengan rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Apatah lagi tindakan Perdana Menteri yang turut menari bersama Trump amat mengguris hati seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.
Tambahnya lagi, Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel.






