KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan tampil memperjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurut kementerian, instrumen yang dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Jabatan Perang Amerika Syarikat pada 30 Oktober di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus adalah Memorandum Persefahaman (MoU), dan bukannya perjanjian seperti yang didakwa.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MoU tersebut bersifat tidak mengikat dari segi perundangan dan telah dirunding sejak tahun 2020, selain tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang dimeterai sempena ASEAN Summit di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025.
Beliau berkata kandungan MoU itu tertumpu kepada kerjasama dua hala melibatkan pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan serta eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, serta bidang lain yang dipersetujui melalui platform Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang dilaksanakan sejak 2008.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS adalah atas kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.
Kementerian Pertahanan turut menjelaskan bahawa pemeteraian MoU dengan negara rakan adalah selaras dengan Kertas Putih Pertahanan 2019 serta dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, selain mendukung komitmen negara terhadap deklarasi Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) ASEAN.
Selain Amerika Syarikat, Malaysia juga mempunyai MoU kerjasama pertahanan dengan beberapa negara lain termasuk China, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu.






