KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga pembantu penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada Selasa.
Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Mereka disyaki menerima wang rasuah secara tunai secara bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori syarikat terbabit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.






