Sabah Masih Berdepan Kekurangan Hampir 25,000 Unit Darah Setiap Tahun

Sabah Masih Berdepan Kekurangan Hampir 25,000 Unit Darah Setiap Tahun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah setiap tahun apabila keperluan darah di seluruh negeri mencecah lebih 100,000 unit setahun, namun kutipan semasa hanya sekitar 70,000 unit.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, keadaan itu memerlukan lebih ramai rakyat perlu tampil sebagai penderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan hospital dan pusat rawatan di seluruh Sabah. 

“Setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan termasuk mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu bersalin serta pesakit yang menjalani rawatan berterusan. 

“Berdasarkan rekod semasa, Sabah masih berdepan cabaran kekurangan bekalan darah. Kita memerlukan lebih 100,000 unit darah setiap tahun, namun jumlah simpanan dan kutipan yang ada ketika ini hanya sekitar 70,000 unit sahaja.
“Kita menyeru lebih ramai tampil menjadi penderma darah dan menjadikan amalan menderma darah sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat yang penyayang dan prihatin. Dengan penyertaan lebih ramai penderma, kita mampu mengurangkan jurang kekurangan bekalan darah yang dihadapi negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas menyempurnakan Kempen Derma Darah Peringkat Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada HQE II, petugas kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta semua penderma darah yang terus komited memastikan bekalan darah di Sabah sentiasa mencukupi demi keperluan pesakit.