YNJ, Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd Sumbang 3,000 Pek Bubur Lambuk

YNJ, Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd Sumbang 3,000 Pek Bubur Lambuk

0
SHARE
Norlidah
Toh Puan Norlidah (dua kiri) menuangkan perencah ke dalam balang bubur lambuk ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Yayasan Nur Jauhar (YNJ) bersama Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 3,000 pek bubur lambuk kepada 30 agensi kerajaan.

Majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Istana Seri Kinabalu pada Rabu disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni.

Menurut Pengurus Besar Syarikat Adabi Sabah, Muhammad Zahari Nasir 3,000 pek bubur lambuk akan diagihkan kepada 30 agensi merangkumi jabatan kerajaan seperti Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Masjid Bandaraya, Hospital Queen Elizabeth, masjid, madrasah dan rumah kebajikan.

“Kita mula memasak sekitar pukul 8 pagi disertai kakitangan dari pelbagai agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (Darat), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), City University dan Yayasan Nur Jauhar (YNJ),” katanya ketika ditemui media dalam Program Bubur Lambuk Adabi sempena Bulan Ramadan Bersama Yang Amat Berhormat Toh Puan.

Terdahulu, seramai 120 orang terlibat menyediakan 10 periuk bubur lambuk pada sebelah pagi yang turut disertai Toh Puan Norlidah yang ikut serta mengambil peluang menggaul bubur. — JABATAN PENERANGAN SABAH