Dua Lelaki Ditahan, 40 Botol Air Ketum Dirampas di Kota Marudu

Dua Lelaki Ditahan, 40 Botol Air Ketum Dirampas di Kota Marudu

0
SHARE

KOTA MARUDU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas sebanyak 40 botol disyaki mengandungi air ketum dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt. Simiun Lomudin berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu hasil maklumat awam dan risikan pihak polis.

Menurutnya, dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan sebotol minuman berwarna hijau bertulisan “Mountain Dew” disyaki mengandungi air ketum dengan anggaran isipadu kira-kira 200 mililiter.

“Hasil soal siasat awal terhadap suspek telah membawa kepada serbuan kedua pada hari sama kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinondokuan Bodi, Kota Marudu.

“Dalam operasi kedua itu, pihak polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan belakang rumah suspek menemukan sebanyak 40 botol air mineral disyaki mengandungi cecair ketum selain beberapa peralatan memasak dan tong penyimpanan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek telah dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut dan semua barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Simiun berkata, pihak polis memandang serius aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran air ketum yang semakin berleluasa di daerah berkenaan.

“Pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti ini. Orang ramai juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha PDRM memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya.