KOTA KINABALU: Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini memberi tumpuan kepada keterangan pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menolak dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum ditemui meninggal dunia.
Dalam keterangannya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, Dr Jessie berkata beliau dimaklumkan mengenai kewujudan sebuah mesin basuh domestik di asrama berkenaan, namun mengesahkan tidak pernah menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas peralatan tersebut.
“Saya tidak memeriksa saiz tong mesin berkenaan, tetapi saya diberitahu berat arwah ialah 53 kilogram. Secara logiknya, saya tidak percaya berat sebegitu boleh dimuatkan ke dalam mesin basuh domestik,” katanya.
Dr Jessie menegaskan bahawa dari sudut sains forensik, mesin basuh jenis domestik tidak mungkin beroperasi sekiranya terdapat objek seberat 53kg di dalamnya.
Beliau turut menambah, kebiasaannya mesin berkenaan hanya direka untuk kapasiti pakaian harian, jauh lebih ringan daripada berat manusia dewasa.
Beliau menolak sama sekali teori yang mengaitkan kematian Zara dengan mesin basuh tersebut, dan menegaskan bahawa hasil pemeriksaan mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah konsisten dengan kesan jatuh dari ketinggian, bukannya akibat sebarang peralatan mekanikal.
Pakar patologi itu juga memaklumkan bahawa kenyataan beliau adalah berdasarkan pengalaman serta pengetahuan profesional, sekali gus menepis spekulasi dan khabar angin yang tular di media sosial sejak tragedi tersebut berlaku.
Prosiding inkues akan diteruskan pada sebelah petang dengan mendengar hujahan lanjut daripada pihak berkepentingan, termasuk peguam yang mewakili lima remaja yang sebelum ini telah didakwa dalam kes berkaitan.






