Tangkap Layar Perbualan WhatsApp Palsu: Nizam Lapor Polis dan Ambil Tindakan Undang-Undang

Tangkap Layar Perbualan WhatsApp Palsu: Nizam Lapor Polis dan Ambil Tindakan Undang-Undang

0
SHARE
NIzam (Dua dari kanan) selepas membuat laporan Polis di IPD Kota Kinabalu pada Rabu...

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk NizamAbu Bakar Titingan, menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya melibatkan beliau bersama beberapa individu lain.

Beliau menyifatkan penyebaran fitnah tersebut sebagai satu tindakan jelik yang direka untuk memburukkan nama peribadi serta mencemar imej parti.

“Fitnah ini jelas berunsur politik kotor kerana individu yang sama sebelum ini turut menularkan isu serupa terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berhubung isu berkenaan.

Beliau juga mengesahkan telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan Notis Tuntutan (LOD) terhadap individu dikenali sebagai Atan (Tandiko Dalusin) yang menggunakan akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi” dan didakwa menjadi dalang utama penyebaran tangkap layar palsu itu.

Lebih menarik, kata beliau, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, dalam satu siaran langsung di media sosial pada tengah hari tadi turut mengakui bahawa tangkap layar berkenaan adalah palsu.

Azis dilaporkan berkata: “Even yang si Atan kasi tunjuk ni pun, ini pun saya tahu ini tidak betul juga. Cuma mungkin disebarkan oleh apabila ada orang buat dan dorang kasi tunjuk bahawa apa yang dorang buat tu semua orang boleh buat, maka dibuatlah la ini.”

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan bahawa politik seharusnya berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah atau manipulasi.

Beliau turut menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

Dalam kenyataannya, beliau juga menyentuh mengenai himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu, dengan menyatakan bahawa beliau menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan serta menuntut keadilan.

Namun begitu, beliau mengingatkan agar himpunan yang baik niatnya itu tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan melampaui batas undang-undang.

Katanya, pihak polis telah pun mengambil tindakan terhadap insiden ucapan berunsur hasutan yang dilaporkan semasa perhimpunan tersebut dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Apa yang lebih utama sekarang adalah memastikan fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar iaitu mencari kebenaran, menegakkan keadilan dan menjamin keselamatan pelajar kita,” katanya.