10 Pegawai, Anggota PDRM Akan Dihantar Ke Misi PBB Di Sudan Selatan

10 Pegawai, Anggota PDRM Akan Dihantar Ke Misi PBB Di Sudan Selatan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar sembilan pegawai kanan dan seorang anggota polis ke Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan pada Isnin ini.

Katanya, kesemua mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang akan menyertai misi berkenaan selama setahun.

Beliau berkata, penyertaan pasukan PDRM untuk misi berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu Individual Police Officers (IPOs) dan Formed Police Unit (FPU).

“Penugasan IPOs di misi PBB berkonsepkan traditional approach building khususnya dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam…

“Ia lebih tertumpu ke arah pembaharuan, pembinaan dan penstrukturan semula negara-negara yang mengalami krisis dan pergolakan tertentu,” katanya.

Acryl Sani berkata, IPOs turut berperanan menangani pelbagai isu antaranya seperti hak asasi manusia, kepolisan antarabangsa, kepolisan komuniti, bimbingan dan pemantauan.

Menurutnya, IPOs daripada PDRM telah berkhidmat di 13 negara misi PBB dan kali terakhir adalah pada tahun 2018 di Sudan Selatan.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada lagi IPOs dan FPU PDRM ditempatkan di misi PBB.

“Saya ingin maklumkan, daripada keseluruhan 132 calon yang layak bagi pemilihan, seramai 113 calon telah lulus dan siap sedia untuk dihantar menyertai misi PBB dengan peratusan kelulusan sebanyak 86 peratus.

“Selain itu, PDRM juga telah mendapat 10 kuota tambahan IPOs wanita ke Sudan Selatan yang kini dalam proses menunggu pihak berkuasa perjalanan serta lima calon pegawai kanan sebagai penasihat polis bagi misi ke Somalia,” katanya.