Jangan Politikkan Insiden Gangguan Bekalan Elektrik – YPNM

Jangan Politikkan Insiden Gangguan Bekalan Elektrik – YPNM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah memandang serius insiden gangguan bekalan elektrik yang melanda sebahagian besar negeri ini baru-baru ini, dan mengingatkan orang ramai agar tidak mempolitikkan isu tersebut.

Menurut Pengerusinya, David Chan, kejadian itu berpunca daripada faktor semula jadi yang sukar dijangka, apabila tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa menyebabkan menara penghantaran 275kV tumbang.

“Bencana alam yang pertama kali berlaku seumpamanya ini telah menjejaskan sistem penghantaran elektrik utama di Sabah.

“Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) bersama pasukan teknikal bertindak segera menggerakkan usaha pemulihan, termasuk kerja-kerja pembaikan, sebaik sahaja insiden dilaporkan.

“Bekalan elektrik dijangka pulih secara berperingkat dan disasarkan kembali normal dalam tempoh 48 jam,” katanya.

YPNM dalam kenyataannya turut menghargai usaha pasukan teknikal SE yang bekerja tanpa mengira masa demi memastikan pengguna kembali menikmati bekalan elektrik secepat mungkin.

Pada masa sama, YPNM menyeru masyarakat supaya bersabar, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik, serta mengelak daripada mempolitikkan insiden ini memandangkan ia adalah bencana alam di luar kawalan mana-mana pihak.

YPNM menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini demi kepentingan pengguna di Sabah.