Tun Musa Aman Tegur Pemimpin Jangan Mainkan Isu Kaum dan Agama

Tun Musa Aman Tegur Pemimpin Jangan Mainkan Isu Kaum dan Agama

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri (Dr) Musa Aman, menegur para pemimpin agar tidak mengejar kepentingan politik sempit dengan memainkan isu kaum atau agama sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Malaysia ke-62, Tun Musa menegaskan bahawa pemimpin Sabah khususnya harus mengutamakan dasar yang praktikal dan idea yang bernas demi memperkasa rakyat serta membangunkan negeri.

“Janganlah mengejar keuntungan politik dengan menimbulkan perpecahan kaum atau agama dalam sebuah masyarakat yang harmoni. Sebaliknya, para pemimpin harus memberi tumpuan kepada idea bernas, penyelesaian praktikal serta dasar-dasar yang dapat memperkasa rakyat dan memajukan negeri serta negara secara keseluruhan,” katanya.

Tun Musa turut menekankan bahawa Sabah adalah contoh terbaik keharmonian kaum dan agama di Malaysia kerana masyarakat berbilang etnik dan agama di negeri ini mampu hidup bersama dalam keadaan aman.

“Tradisi saling menghormati dan menerima perbezaan ini perlu terus dipelihara serta diperkukuhkan demi generasi akan datang,” jelas beliau.

Menurutnya, kepelbagaian bangsa dan agama yang dimiliki Malaysia sepatutnya menjadi kekuatan utama yang menyatukan rakyat, bukannya punca perpecahan.

Beliau juga mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengurangkan jurang ekonomi di Sabah.

“Sabah yang lebih kuat akan menjadikan Malaysia lebih kukuh. Usaha mesti diteruskan bagi memastikan pembangunan dan peluang sampai ke setiap pelosok negeri agar tiada siapa yang tertinggal,” katanya.

Dalam masa yang sama, Tun Musa dan Toh Puan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir dan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan berterusan di Sabah.

“Banjir besar bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut mengakibatkan kerosakan kepada kediaman, perniagaan dan infrastruktur. Saya menyeru komuniti terjejas agar berhati-hati, berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa,” katanya.

Tun Musa menyeru agar semua rakyat menunjukkan solidariti dengan membantu mangsa bencana, bukan sahaja dengan doa tetapi juga tindakan nyata seperti gotong-royong dan bantuan barangan asas.

Mengakhiri perutusannya, beliau mengajak rakyat memperbaharui komitmen terhadap solidariti, keadilan dan kemakmuran negara.

“Bersama-sama, dengan saling menghormati dan tujuan yang dikongsi bersama, kita akan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif dan tidak mudah goyah,” ujarnya sambil mengucapkan Selamat Hari Malaysia.