Ibu dan Dua Anak Maut Ditimbus Tanah Runtuh di Papar

Ibu dan Dua Anak Maut Ditimbus Tanah Runtuh di Papar

0
SHARE

PAPAR: Seorang ibu bersama dua anaknya maut selepas rumah mereka ditimbus tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, PKPjB Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi Isnin sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa pertama, seorang wanita berusia 34 tahun, ditemui pada jam 4.20 petang, diikuti anak perempuannya berusia 10 tahun lima minit kemudian.

Mangsa terakhir, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, ditemui pada jam 8.45 malam.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan 16 anggota bomba termasuk Unit Storm serta agensi lain ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi tadi.