Tekun Nasional Berjaya Bantu Hampir 600,000 Usahawan Informal, Mikro Sejak Ditubuhkan 25...

Tekun Nasional Berjaya Bantu Hampir 600,000 Usahawan Informal, Mikro Sejak Ditubuhkan 25 Tahun Lalu

0
SHARE
Ewon
Ewon menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Sambutan ke-25 Tahun Tekun Nasional ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan TEKUN Nasional bantu hampir 600,000 usahawan sejak 25 tahun lalu membuktikan agensi itu terus menjadi pilihan akses pembiayaan di kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini.

Sehubungan itu katanya, beliau akan terus mengangkat cadangan agar TEKUN Nasional diberikan peruntukan besar setiap tahun.

”Sejak ditubuhkan pada 9 November 1998, TEKUN Nasional telah membantu hampir 600,000 usahawan informal dan mikro di seluruh negara dengan nilai pembiayaan berjumlah RM8.85 bilion.

“Sepanjang 25 tahun beroperasi, TEKUN Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan seiring perubahan dan kehendak semasa.

”Pencapaian ini membuktikan TEKUN Nasional amat relevan dan menjadi pilihan akses pembiayaan di kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ke-25 Tahun TEKUN Nasional, di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Ahad lepas.

Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 usahawan dan warga kerja Tekun termasuk 100 usahawan Tekun berjaya yang mencapai jualan melebihi RM10 juta setahun.

Ewon berharap kejayaan usahawan itu akan menjadi sumber inspirasi kepada usahawan lain untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan.

“Sebagai sebuah syarikat kerajaan, TEKUN Nasional hendaklah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi dengan memastikan kepimpinan yang telus, berintegriti dan berkebolehan.

“TEKUN Nasional juga hendaklah memastikan dana digunakan secara berhemat, berkesan dan telus serta mengamalkan tadbir urus syarikat yang baik.

“Selain itu, sebagai sebuah syarikat yang memberikan pembiayaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana, TEKUN Nasional bertanggungjawab memastikan pembiayaan yang disalurkan dilaksanakan dengan cekap, teratur dan berkesan,” katanya.

Untuk tujuan itu, katanya TEKUN Nasional perlu memastikan usahawan yang dipilih berpotensi meneruskan perniagaan dan mempunyai rekod kredit yang baik, kutipan bayaran balik dan pengauditan dalaman dilaksanakan bagi mengenalpsati punca sebarang ketidakpatuhan dalam proses permohonan, kelulusan, bayaran balik dan tunggakan pembiayaan.

Pada majlis itu, Ewon menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya peringkat negeri, Anugerah Usahwan Cemerlang, Anugerah Tekun Cawangan Terbaik dan Anugerah Tekun Negeri Terbaik.