PUTATAN: Enam buah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi di Kampung Ketiau, Putatan, hari ini, namun tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan tujuh rumah berhampiran serta sebuah kenderaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi empat minit kemudian.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.24 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 10.59 pagi setelah keadaan disahkan selamat.
Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan enam buah rumah, terdiri daripada struktur tidak kekal dan separuh kekal, yang terbakar 100 peratus.
Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan sekitar, sekali gus menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran serta sebuah kenderaan jenis Proton Saga.
Operasi pemadaman melibatkan 35 anggota dari BBP Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dengan penggunaan tiga aliran sepanjang 300 kaki, enam pancutan, serta sumber air daripada jentera FRT, lori tangki dan sungai berhampiran.
Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Turut terlibat dalam operasi sokongan ialah Sabah Electricity, PDRM, APM, UPPM N24, Pejabat Parlimen P173 dan Pejabat Daerah Putatan.
Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran masih dijalankan.






