Kerajaan Sabah Dalam Usaha Turunkan Kadar Kemiskinan

Kerajaan Sabah Dalam Usaha Turunkan Kadar Kemiskinan

0
SHARE
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini sedang dalam usaha menurunkan kadar miskin tegar di Sabah menjelang penghujung tahun ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, antara usaha yang sedang berjalan adalah memberi bantuan modal perniagaan, menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak miskin tegar di negeri ini.

Katanya, kelompok miskin tegar dalam sistem e-Kasih adalah golongan sasar yang akan dibantu.

“Selain membasmi kemiskinan, kerajaan negeri juga telah melancarkan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 pada September tahun lepas dan usaha ini adalah untuk kerajaan beralih daripada kebergantungan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada rangkaian sungai di Sabah.

“Untuk meningkatkan kapasiti hidro di Sabah, pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bernilai RM4 bilion dengan kapasiti 187.5megawatt (MW) dilaksanakan yang dijangka siap pada tahun 2029.

“Selain menyumbang tenaga, ia juga berpotensi menyumbang bekalan air 6,000MLD,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya bagi menstabilkan bekalan air, kerajaan telah meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan 2 sebanyak 130 hingga 180 MLD dan mampu membekalkan air di kawasan Kota Kinabalu Utara, Tuaran, KKIP dan UMS.

“Kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar kepada 80 MLD untuk kawasan Papar, Kimanis sehingga ke Selatan Kota Kinabalu. Projek ini telah bermula lima bulan lepas, dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian daripada kejayaan-kejayaan Pelan Pembangunan SMJ dan semua maklumat ini adalah maklumat awam yang boleh diakses melalui platform yang saya sebutkan, terutamanya laman web rasmi SMJ,” jelasnya.