TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri telah berjaya membawa banyak perubahan positif dalam bidang ekonomi dan semua aspek pembangunan di negeri ini, sepanjang tempoh empat tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antaranya Sabah telah memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.
Katanya, selain terus menjayakan inisiatif dan agenda dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri terus menerokai sumber baharu untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.
“Bagaimanapun, semua ini sudah pasti memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak khususnya rakyat, untuk kita membangunkan negeri ini,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen Madani 2024 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu.
Menurutnya, banyak usaha dan inisitiaf telah dan sedang dibuat kerajaan negeri untuk membantu rakyat khususnya golongan B40, sama ada dalam aspek peningkatan ekonomi dan pendidikan, seiring dengan komitmen untuk membasmi kemiskinan terutama miskin tegar yang merupakan antara agenda penting kerajaan.
Katanya, kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif termasuklah menawarkan pekerjaan kepada Ketua atau ahli Isi Rumah golongan berkenaan.
Program yang berterusan ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta, yang diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya.
Beliau berkata, dalam menoktahkan miskin tegar, kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos berjumlah RM250 juta.
Hajiji berkata, untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini berjumlah RM127 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.
“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Katanya, Program MyLesen Madani 2024 peringkat negeri Sabah adalah bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, untuk membantu golongan sasar khususnya golongan B40 untuk memiliki lesen memandu di negeri ini.
Beliau berkata, menerusi program itu bagi negeri Sabah, sebanyak 3,110 kuota telah diberikan tahun ini, meningkat berbanding 500 kuota pada tahun 2023.
Hajiji berkata, Program MyLesen Madani 2024 Daerah Tuaran melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu membabitkan seramai 500 orang peserta.
“Penganjuran Program MyLesen MADANI 2024 peringkat negeri Sabah ini sudah pasti dapat meningkatkan tahap pemilikan lesen dalam kalangan penduduk di Sabah terutamanya golongan B40.
“Ia adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki lesen dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar bandar,” tegasnya.
Beliau juga berharap program itu dapat meningkatkan disiplin para peserta untuk sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dengan penerapan pemanduan berhemah.