KOTA KINABALU: Platform seperti Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, platform tersebut membolehkan perbincangan berhubung isu-isu semasa berkaitan perpaduan serta tindakan proaktif dapat diambil bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia juga perlu disokong oleh rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.
Julita menjelaskan, PADUNEGERI berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan, memperjelaskan perkara semasa di peringkat komuniti serta mencadangkan inisiatif bagi terus memperkukuh keharmonian masyarakat.
Jawatankuasa tersebut dianggotai wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam usaha perpaduan, dengan JPNIN Sabah bertindak sebagai sekretariat.
Beliau turut berharap platform berkenaan akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri KWKKR Datuk Rina Jainal, Setiausaha Tetap Datuk Maria Chong serta Pengarah JPNIN Sabah Rina Ab Harun.






