PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon kembali mula beroperasi setelah dua hari ditutup kerana paip utama saluran bekalan air mentah ke LRA ini pecah.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sekarang kapasiti air terawat di daerah itu hanya 35 juta liter sehari – MLD (LRA Kogopon) dan 5 juta liter sehari dari LRA Jetama, iaitu total 40 juta liter sehari.
“Kita masih kekurangan daripada biasa sebelum bencana kemarau, iaitu kekurangan 15 juta liter sehari, iaitu 10 juta liter sehari dari LRA EWSS dan 5 juta liter sehari dari separuh kapasiti LRA Jetama.
“Itu sebabnya masih ada kampung, taman dan kawasan yang masih belum menerima air di saluran paip khususnya yang berada di hujung jajaran saluran penghantaran seperti Kg. Kuala, Kg. Sekayan, Kg. Bundusan, Kg. Sungai Padang, Kg. Sri Tanjung, Kg. Kelanahan dan banyak tempat di Kinarut, selain taman-taman perumahan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah Armizan, beliau sudah meminta pasukannya di DUN Kawang, Limbahau dan Pantai Manis untuk memeriksa mana-mana lagi lokasi yang belum mendapat bekalan air di paip untuk membolehkan perancangan penghantaran air yang lebih tersusun sehingga kedua-dua LRA (EWSS dan Jetama) boleh beroperasi semula.
“Sekiranya Projek Naik Taraf LRA Kogopon (40 MLD kepada 80 MLD) berjalan seperti dirancang pada tahun 2019 (RP4-RMKe-11) dan siap 2022 (tempoh siap 3 tahun), kita tidak jadi begini.
“Projek itu akan membolehkan kita punyai rizab margin yang lebih di Papar, biar kemarau, rizab yang ada masih boleh menampung keperluan. Syukur kita telah dapat usaha sehingga projek berjalan bermula Ogos 2023 dan hanya akan siap pada Ogos 2026.
“Apapun, kami akan usaha sehabis baik untuk menghantar air ke kawasan-kawasan terkesan sehingga bekalan air LRA EWSS dan LRA Jetama beroperasi kembali sepenuhnya,” jelasnya.