KYS Anjur Majlis Berbuka Puasa Bagi Pelajar IPT Sabah Di Semenanjung

KYS Anjur Majlis Berbuka Puasa Bagi Pelajar IPT Sabah Di Semenanjung

0
SHARE
Kys
Arifin (duduk tengah) bersama Pengarah KYS Datuk Ghulam Haidar Khan Bahandar (tiga kiri) bergambar bersama pelajar Sabah pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan KYS )

JOHOR BHARU – Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung Malaysia pada Selasa.

Majlis bertempat di Grand Ballroom, AmanSari Residence Resort itu disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Majlis berbuka puasa anjuran Kumpulan Yayasan Sabah ini merupakan majlis tahunan yang bertujuan untuk menyambut bulan Ramadan al-Mubarak bersama mahasiswa mahasiswi Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, Kumpulan Yayasan Sabah telah mengadakan majlis berbuka puasa ini di Pulau Pinang pada Isnin lepas yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Seramai 600 orang para siswa dan siswi daripada 10 buah institusi pengajian tinggi di Zon Selatan Semenanjung Malaysia yang merangkumi Johor, Pahang Negeri Sembilan dan Melaka telah berkumpul di Johor untuk acara tersebut.

Program itu turut memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk beramah mesra bersama barisan kepimpinan negeri sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi maklumat di antara sesama pelajar berlainan IPT.

Majlis tersebut diisi dengan pengisian jamuan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah.