Penggunaan Tenaga Elektrik Sabah Semakin Meningkat

Penggunaan Tenaga Elektrik Sabah Semakin Meningkat

0
SHARE
Adrian
Pengurus Besar Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Adrian Mosigil ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

KOTA KINABALU, SABAH – Cuaca panas kebelakangan ini telah memberikan kesan yang signifikan terhadap penggunaan tenaga elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meramalkan bahawa penggunaan tenaga elektrik akan tetap tinggi sehingga hari Khamis (28 Mac) ini.

Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Adrian Leo Mosigil berkata pihaknya telah merekodkan penggunaan tenaga elektrik tertinggi semalam (Selasa) iaitu sebanyak 1128 MegaWatt (MW).

“Secara kebiasaannya, penggunaan tenaga elektrik akan meningkat kira-kira pada pukul 2.00 petang sehingga pukul 8.00 malam sahaja.

“Sementara itu, catuan bekalan elektrik terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir kelmarin (26 Mac 2024) di beberapa kawasan seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Semporna, Kinabatangan, Papar, Tuaran, dan Sipitang.

“Catuan bekalan ini berlaku tanpa notis awal disebabkan oleh kerosakan yang tidak dapat dijangkakan pada salah satu set janakuasa milik Stesen Janakuasa Bebas (IPP) di Kimanis yang menyebabkan Sistem Grid Sabah kehilangan 95MW,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Adrian berkata SESB turut berharap bahawa set janakuasa milik Stesen IPP tersebut akan dapat diperbaiki sebelum waktu beban puncak pada hari ini (27 Mac) bagi memastikan Sistem Grid Sabah mempunyai margin tenaga yang mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna.