PARIS, PERANCIS – Keputusan meyakinkan hasil daripada laporan mengenai penghasilan vaksin COVID-19 beri harapan kepada seluruh dunia yang dilanda peningkatan harian kes virus itu.
Bagaimanapun, adakah ia bermakna pandemik itu akan berakhir? Tidak semestinya, kata beberapa pakar, berikutan masih banyak persoalan mengenai siapa yang akan dilindungi vaksin itu dan berapa lama tempoh perlindungannya.
Isnin lalu, syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan rakan kongsi dari Jerman, BioNTech mengumumkan calon vaksin mereka mencatatkan 90 peratus berkesan mengelak jangkitan COVID-19 ketika ujian fasa tiga.
Memetik laporan berita AFP, satu daripada beberapa vaksin yang dibangunkan, ia menggunakan teknologi inovatif yang belum pernah digunakan sebelum ini.
Meskipun keberkesanannya mencetus keterujaan, dengan data yang belum lengkap, masih belum dapat diketahui berapa lama vaksin itu bertahan, serta sama ada akan melindungi kumpulan paling berisiko dan bagaimana ia diagihkan di seluruh dunia.
Pengumuman Pfizer dan BioNTech adalah berasaskan keputusan awal dalam fasa terakhir ujian klinikal, sebelum mendapatkan membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan.
Mereka mendakwa vaksin itu didapati ’90 peratus berkesan’ dalam memastikan peserta tidak dijangkiti, berdasarkan 94 kes COVID-19 dikesan dalam ujian yang membabitkan 43,538 individu.
Bagaimanapun, pengumuman itu tidak memperincikan jumlah pesakit dijangkiti berada dalam kumpulan yang menerima vaksin, dan berapa yang diberikan placebo.
“Keputusan ujian ini menarik, namun kita perlu melihat pada data yang masih belum diterbitkan” kata Pakar Virologi Perancis, Marie-Paule Kieny, yang mengetuai penyelidikan di Inserm dan bekas Pengarah di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Data lain masih dikumpulkan, khususnya mengenai keselamatan, namun kedua-dua firma itu menjelaskan ‘tiada isu keselamatan serius’ dikesan.
Profesor pelawat Perubatan Farmaseutikal di King’s College London, memberitahu Pusat Media Sains, tempoh perlindungan vaksin itu masih belum dapat diketahui kerana keberkesanannya diuji tujuh hari selepas pesakit menerima suntikan terakhir daripada dua dos vaksin, 28 hari selepas suntikan awal.
“Susulan dalam tempoh yang lebih lama diperlukan ketika penularan wabak untuk memastikan keperluan suntikan dos berulang,” katanya
Bruno Pitard dari pusat penyelidikan saintifik kebangsaan CNRS Perancis, memberitahu AFP bahawa antara cabaran ialah untuk mengetahui bagaimana keberkesanan vaksin berubah dalam jangka panjang.
“Selepas tiga minggu, sebulan hingga empat bulan, kita akan lihat sama ada perlindungannya kekal sama,” katanya.






