58,080 KETUA ISI RUMAH DI 12 DAERAH TERIMA BEKALAN AIR: KM HAJIJI

58,080 KETUA ISI RUMAH DI 12 DAERAH TERIMA BEKALAN AIR: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajijj menyampaikan cek cura sumbangan kepada pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Abdul Razak Muda ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan bekalan air diagihkan kepada 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh negeri yang terjejas akibat kemarau berpanjangan.

Bagi tujuan ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), katanya.

“Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk,” katanya.

Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering pada 28 hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan,” katanya sambil menambah bahawa kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.

Beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di negeri ini.

Peralatan itu termasuk 27 pam mudah alih;75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri.

Daripada jumlah ini, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah.

“Kerajaan negeri turut berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran,” katanya.