Bit Basikal Polis Kota Kinabalu Luaskan Kawasan Rondaan, Tegaskan Kehadiran Polis

Bit Basikal Polis Kota Kinabalu Luaskan Kawasan Rondaan, Tegaskan Kehadiran Polis

0
SHARE
Pdrm
Kasim (tengah) pada gimik 'flagoff' Bit Basikal Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, SABAH – Bit basikal baharu Polis daerah ini memperluaskan kawasan rondaan pada hujung minggu dan cuti umum.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata sebagai permulaan, sepasukan enam akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk meliputi tiga zon tertumpu bandaraya.

“Ini akan menunjukkan kehadiran polis terutamanya dari kawasan Tanjung Aru ke Teluk Likas melalui trek basikal.

“Orang ramai akan merasa selamat dan kegiatan jenayah dapat dibendung.

“Dalam masa sama, anggota polis yang membuat rondaan boleh bertindak segera terhadap masalah orang ramai jika ada,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di Balai Polis Tanjung Aru pada Sabtu.

Kasim berkata, buat masa ini mereka hanya akan berkayuh pada hujung minggu dan pada cuti umum memandangkan lebih ramai orang awam termasuk pelancong akan berpusu-pusu ke pusat bandar.

“Bit basikal ini akan mula meronda dari pukul 4 petang hingga 10 malam. Kami masih mempunyai beberapa basikal lebih dan akan terus berkembang berdasarkan reaksi orang ramai,” tambahnya.

Perancangan seterusnya, katanya, adalah untuk memperkasakan kaum wanita melalui peronda skuter motosikal anggota polis wanita yang bakal ditubuhkan.

Sementara itu, Kasim menjelaskan bahawa Op Payung telah berjaya menurunkan kadar jenayah.

“Kita mempunyai 15 pasukan dalam Op Payung yang berjaya mengurangkan 20 kes jenayah kepada 15 pada bulan Mac laku. Angka terkini pada bulan Mei ialah 12 kes.

“Kebanyakan kes membabitkan pecah dan masuk ke dalam premis bangunan dan tidak melibatkan harta awam.

“Hanya satu kes samun atau ragut direkodkan sepanjang tempoh operasi malahan itu selepas tengah malam apabila rondaan telah tamat,” katanya.

Kasim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berjalan sendirian atau melalui kawasan gelap kerana ia memberi peluang kepada jenayah.