KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa desakan UMNO supaya pilihan raya diadakan pada musim hujan dan banjir bertujuan untuk memastikan peratusan pengundi keluar yang rendah.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata strategi tersebut sama dengan apa yang UMNO dan Barisan Nasional cuba buat pada pilihan raya tahun 2018 yang memastikan undi diadakan pada hari Rabu.
“Malangnya strategi mereka itu gagal pada tahun 2018 apabila rakyat Malaysia bangkit bersama-sama dan memastikan peratusan pengundi yang keluar begitu tinggi. Ini telah memastikan pemerintahan kleptokrasi dijatuhkan.
“Kali ini, dengan pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh atau monsun, mereka sekali lagi berharap peratusan keluar mengundi rendah dan dengan itu akan berjaya memastikan kleptokrat kembali memerintah.
“Saya yakin rakyat Malaysia tidak mahu kleptokrat kembali memerintah…
“Rakyat akan dapat sekat kembalinya kleptokrat dengan keluar mengundi beramai-ramai,” katanya.