KOTA KINABALU, SABAH – Seorang warga emas ditemui meninggal dunia dalam sebuah rumah yang terkunci di Lorong Menggatal berhampiran Pekan Menggatal, sini, semalam.
Ia merupakan kes kedua pada minggu ini di mana bantuan pasukan Bomba diperlukan bagi membuka pintu menggunakan peralatan khas (gergaji kuasa).
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan telah menerima panggilan kecemasan berkenaan pada pukul 7.09 malam.
“Mangsa lelaki berumur 71 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada bahagian ruang tamu rumah…
“Beliau disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan pada jam 7:54 malam dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber sama menambah operasi tamat pada kira-kira 20 minit selepas itu.
Terdahulu pada petang Rabu, kes yang sama berlaku kepada seorang warga emas lelaki berusia 57 tahun di Flat Taman Sejati, Sandakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terduduk di kerusi dalam keadaan mula kembung.
Misteri bau busuk terungkai apabila perasaan curiga jiran mangsa menjadi kenyataan setelah tidak melihatnya selama beberapa hari.