Warga MINDEF Perlu Pupuk Semangat ‘Keluarga Malaysia’ Dalam Perkhidmatan

Warga MINDEF Perlu Pupuk Semangat ‘Keluarga Malaysia’ Dalam Perkhidmatan

0
SHARE
Datuk Seri Muez Abd Aziz menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penjawat awam...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata, warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu mengadaptasi semangat Keluarga Malaysia dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata dengan, usaha berterusan, imej dan prestasi mindef akan berada pada tahap yang tinggi dan sekaligus berjaya mencapai visi dan misi kementerian sejajar dengan slogan MINDEF iaitu “Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama”.

“Tiga teras utama dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan  dan kesyukuran yang inklusif di mana semua harus saling membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan seterusnya memajukan negara.

“Warga MINDEF tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian serta harus membuat pembaharuan yang berterusan agar memenuhi permintaan dan harapan rakyat.

“Ekspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi oleh itu warga MINDEF perlu sentiasa peka serta berfikiran terbuka dalam melakukan perubahan yang selari dengan perubahan persekitaran. 

“Setiap pegawai juga harus memupuk nilai-nilai positif yang berupaya menjadi inspirasi kepada pihak lain dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata semasa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang 2022 Kementerian Pertahanan Cawangan Sabah di sini, pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, seramai 51 penerima APC menerima sijil dan insentif prestasi RM1,000 dan tujuh pesara menerima sijil serta insentif persaraan berjumlah RM400 dan Pingat Pekerti Terbilang Tahun 2022.