Empat Ditahan Halang Operasi Perobohan Struktur Haram di Matunggong

Empat Ditahan Halang Operasi Perobohan Struktur Haram di Matunggong

0
SHARE

KUDAT: Empat individu ditahan polis selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu operasi perobohan struktur binaan di atas tanah simpanan kerajaan di kawasan tapak tambahan Pekan Baru Matunggong, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kudat, Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 9.30 pagi itu diketuai Jabatan Tanah dan Ukur Kudat dengan disertai beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, semasa operasi berlangsung, beberapa pelajar Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta penduduk kampung hadir di lokasi kejadian, namun keadaan berjaya dikawal dan operasi berjalan lancar hasil kawalan keselamatan pihak polis.

“Dalam operasi tersebut, pihak polis telah menahan empat individu selepas mereka dipercayai menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Sebelum tindakan penahanan dibuat, pihak polis telah memberikan nasihat serta amaran supaya semua yang berada di lokasi memberi kerjasama dan mengosongkan kawasan perobohan bagi melancarkan tugas penguat kuasa.

“Namun, arahan tersebut tidak dipatuhi dan berlaku provokasi serta tindakan menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dan telah dihantar ke Hospital Kudat untuk menerima rawatan lanjut.

“Remaja terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Haris turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertenang dan tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang serta tidak menyebarkan kenyataan atau komen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu ketenteraman awam menerusi media sosial.