KKIP Power Serah Dividen RM3.13 Juta Kepada KKIP

KKIP Power Serah Dividen RM3.13 Juta Kepada KKIP

0
SHARE

KOTA KINABALU: K.K.I.P. Power Sdn Bhd (KKIP Power) menyerahkan dividen berjumlah RM3,136,500 kepada K.K.I.P. Sdn. Bhd dalam satu majlis ringkas di Pejabat Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sepanggar, hari ini.

Penyerahan dividen itu disampaikan oleh Pengerusi KKIP Power, Datuk Johnny Goh kepada Pengerusi KKIP, Datuk Ewon Benedick sebelum berlangsungnya mesyuarat Lembaga Pengarah KKIP.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, pembayaran dividen berkenaan mencerminkan prestasi positif syarikat serta komitmen berterusan KKIP Power dalam menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri.

Menurut beliau, pencapaian itu turut membuktikan keupayaan anak syarikat KKIP tersebut dalam memainkan peranan strategik bagi memenuhi keperluan utiliti industri di Sabah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, Cecilia Amid; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Thomas Logijin; serta Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Power, Peter Lajumin.

KKIP Power merupakan pemegang lesen pengagihan elektrik bagi kawasan perindustrian di KKIP dan memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan utiliti serta pembangunan sektor industri di taman perindustrian berkenaan.