KUCHING, SARAWAK – Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak Andrew berpandangan cadangan dikemukakan kerajaan bagi membenarkan cagaran KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank dibuat tanpa penelitian sewajarnya.
Jelasnya, pencarum berdepan risiko dibeban dengan kadar faedah tinggi, selain kesanggupan bank mengeluarkan pinjaman, jika cagaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada Khamis baru-baru ini berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman mereka sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan.
Kaedah itu boleh ditawarkan kepada pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Kata Andrew dalam satu kenyataan, skim caruman KWSP dilindungi Akta KWSP antara lain melindungi dana itu daripada kebankrapan, jika pencarum tidak mampu membayar hutang.
“Adakah bank bersedia memberi pinjam kepada mereka yang mahu menjadikan caruman mereka sebagai cagaran?”
“Memandangkan skim itu dikatakan bagi golongan terdesak untuk mendapatkan pinjaman, bukankah ini akan meletakkan mereka pada kedudukan paling berisiko tidak dapat melangsaikan hutang?” katanya lagi.





