Kem Tentera AS di Balabac Berpotensi Jadi ‘Benteng Tambahan’ Keselamatan Sabah –...

Kem Tentera AS di Balabac Berpotensi Jadi ‘Benteng Tambahan’ Keselamatan Sabah – Zulkarnain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pembangunan kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Pulau Balabac, Palawan, Filipina tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata kerana ia turut berpotensi membantu memperkukuh keselamatan perairan Sabah.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kedudukan Balabac yang kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi perlu dinilai secara rasional dan seimbang, termasuk dari sudut manfaat keselamatan kepada Sabah.

Menurutnya, peningkatan keupayaan pengawasan maritim di kawasan berkenaan berpotensi membantu usaha menangani kegiatan lanun, penculikan, penyeludupan, kumpulan bersenjata dan jenayah rentas sempadan dari selatan Filipina.

“Sekiranya pembangunan Balabac meningkatkan keupayaan pengawasan maritim, perkongsian risikan serta tindakan terhadap lanun, kumpulan bersenjata, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, Sabah juga berpotensi mendapat manfaat secara tidak langsung.

“Balabac boleh menjadi benteng keselamatan tambahan di sebelah utara perairan Sabah, sementara ESSCOM dan pasukan keselamatan Malaysia terus memperkukuhkan kawalan di wilayah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain berkata, Sabah mempunyai pengalaman panjang berdepan ancaman keselamatan dari selatan Filipina, termasuk kes penculikan di perairan negeri ini.

Katanya, sebanyak 25 kes penculikan direkodkan antara 2000 hingga 2020, namun keadaan keselamatan kini jauh bertambah baik dengan tiada insiden penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di perairan Pantai Timur Sabah sejak Januari 2020.

Beliau berkata, operasi pihak berkuasa Filipina yang melemahkan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan turut membantu mengurangkan kemampuan kumpulan berkenaan bergerak ke Pantai Timur Sabah.

Bagaimanapun, Zulkarnain menegaskan Malaysia tetap perlu berwaspada memandangkan kedudukan strategik Balabac yang begitu hampir dengan Sabah, selain mengambil kira perkembangan geopolitik dan persaingan AS-China di rantau Indo-Pasifik.

“Setakat ini tiada bukti kemudahan ketenteraan di Balabac atau kehadiran tentera AS di sana bertujuan mengancam Malaysia atau Sabah.

“Kita tidak perlu mencipta ketakutan yang tidak berasas. Tetapi perancangan keselamatan negara perlu mengambil kira jangka panjang kerana kerajaan, kepimpinan, dasar luar dan keadaan geopolitik boleh berubah,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 31 Ogos lalu bahawa rancangan menaik taraf kemudahan di Balabac bagi tujuan ketenteraan AS tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia kerana pulau berkenaan merupakan wilayah Filipina.

Zulkarnain berkata, beliau menghormati pendirian itu kerana Filipina adalah sebuah negara berdaulat dan kerjasama pertahanannya dengan AS merupakan urusan kedua-dua negara.

Pada masa sama, beliau mengambil maklum kebimbangan yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembangunan ketenteraan di Balabac kerana lokasinya yang hampir dengan Sabah dan mengambil kira isu tuntutan terhadap negeri ini, walaupun hubungan Malaysia-Filipina kekal baik.

Menurut Zulkarnain, Balabac telah disenaraikan sejak 2023 sebagai antara lokasi di bawah Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA) antara Filipina dan AS.

Dalam isu kedaulatan Sabah, beliau berkata sejarah tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu juga tidak boleh diketepikan meskipun Malaysia memperoleh kemenangan penting apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember 2025 membatalkan sepenuhnya Final Award AS$14.9 bilion yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa.

Katanya, kemenangan undang-undang itu tidak semestinya menyebabkan isu tuntutan terhadap Sabah hilang sepenuhnya daripada wacana politik di Filipina.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia perlu memastikan isu kedaulatan Sabah tidak dicampuradukkan dengan pertikaian Laut China Selatan atau persaingan antara kuasa besar.

“Kita tidak perlu takut dan tidak perlu mencipta musuh. Tetapi kita juga tidak boleh leka.

“Prinsip kita mudah: berkawan dengan semua negara dan bekerjasama dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, tetapi dalam soal kedaulatan Sabah, tidak boleh ada kompromi.

“Sabah mesti kekal aman dan tidak sesekali terseret menjadi medan percaturan kuasa-kuasa besar,” katanya.