KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat besar Ernie Zakri sekali lagi membuktikan popularitinya apabila tiket bagi konsert solonya yang dinanti-nantikan, Aura: Ernie Zakri Live in Concert habis terjual dalam masa tujuh jam sahaja.
Kejayaan luar biasa ini membuktikan Ernie sebagai antara artis yang paling diminati dan berbakat dalam industri muzik tanah air.
Konsert yang bakal berlangsung pada 25 Januari 2025 di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre ini dijangka menjadi malam yang penuh dengan keajaiban muzik, di mana Ernie akan menghiburkan peminat dengan rangkaian agu hit dan persembahan vokal luar biasa.
Menariknya, konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment milik penyanyi Sufi Rashid ini menjadi persembahan berskala besar pertama yang dibawakan syarikat itu di negara ini.
Tiket konsert yang mula dijual pada 27 September lalu mendapat sambutan yang luar biasa apabila peminat berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat bagi menyaksikan persembahan penyanyi yang dikenali dengan kehebatan teknik vokal.
Mengulas mengenai kejayaan penjualan tiket itu, Ernie meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih atas sokongan yang luar biasa daripada semua. Ia adalah impian saya untuk berkongsi muzik dan perjalanan karier saya melalui konsert ini.
“Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat-peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.
“Bagi saya, setiap tiket yang terjual bukan sekadar nombor, tetapi perlambangan kasih sayang dan kepercayaan peminat terhadap usaha dan dedikasi saya selama ini. Saya tak sabar untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa ada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.
“Setiap detik yang dilalui bersama mereka adalah kenangan yang tidak ternilai. Konsert ini bukan hanya mengenai muzik, tetapi juga pengalaman, kegembiraan, dan sambutan penuh emosi yang kita dapat nikmati bersama,” katanya.