KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjelaskan pelaksanaan pengurusan aliran pesakit di Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) telah menunjukkan hasil positif dalam mengurangkan kesesakan serta mempercepatkan kemasukan wad.
Menurut JKNS, inisiatif sejak 29 Januari 2026 itu dilaksanakan selaras garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui penggunaan Bed Management Unit (BMU), wad multidisiplin, sistem Expected Date of Discharge (EDD) serta Discharge Lounge.
“Penggunaan katil kini lebih optimum, masa menunggu dipendekkan dan kesesakan di Jabatan Kecemasan berkurang secara signifikan,” menurut kenyataan itu.
JKNS turut menegaskan semua pesakit dilayan secara saksama berdasarkan keperluan klinikal, dengan pengagihan katil dilakukan secara telus tanpa layanan istimewa atau VIP.
Tuduhan berkaitan ugutan kakitangan dan layanan tidak profesional turut dinafikan, dengan pihak hospital menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pelanggaran etika kerja.
Dalam pada itu, JKNS berkata penambahbaikan sistem dan penilaian berkala akan diteruskan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan lebih cekap, selamat dan berkualiti untuk rakyat Sabah.






