Koperasi Sabah Catat RM913 Juta, Bukti Sumbangan Kepada Ekonomi Negeri

Koperasi Sabah Catat RM913 Juta, Bukti Sumbangan Kepada Ekonomi Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sektor koperasi di Sabah terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan perolehan sebanyak RM913.33 juta dengan nilai aset melebihi RM1.2 bilion, sekali gus membuktikan peranannya sebagai pemacu penting ekonomi negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu disumbangkan oleh 2,047 koperasi di seluruh Sabah yang memainkan peranan signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

Menurut beliau, di peringkat nasional, gerakan koperasi kini muncul sebagai gergasi ekonomi rakyat dengan perolehan mencecah RM81.62 bilion dan aset bernilai RM186.75 bilion menerusi 16,468 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang.

“Dalam mendepani krisis kos sara hidup global, koperasi memegang peranan strategik melalui penguasaan rantaian bekalan, khususnya dalam sektor peruncitan dan pertanian.

“Koperasi mampu meminimumkan kos dengan menghapuskan peranan orang tengah yang sering mengeksploitasi harga, sekali gus memastikan pulangan lebih adil kepada anggota serta pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Bicara Koperasi dan IKMa Bersama Agensi KUSKOP dan Media di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030) menjadi pemangkin utama dalam usaha meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 3.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh sektor berkenaan melalui pendekatan A-B-C-D iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.

“Pendekatan ini memudahcara urusan bantuan, pembiayaan serta latihan kepada rakyat agar koperasi terus berkembang secara mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menyeru koperasi agar terus relevan dengan beradaptasi terhadap perkembangan teknologi seperti Revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI) bagi menarik minat golongan muda.

Sementara itu, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang kini menyambut Jubli Platinum ke-70 tahun terus memperkasakan pembangunan modal insan melalui Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang menyediakan laluan pendidikan formal dari peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD).

Dalam perkembangan sama, beliau menekankan kepentingan sinergi antara agensi di bawah KUSKOP bagi menyokong agenda Ekonomi Madani, selain menyeru pihak media untuk terus menghebahkan inisiatif kementerian serta mengetengahkan kisah kejayaan koperasi tempatan sebagai inspirasi kepada masyarakat.