Perogol Gunakan Taktik Bertanyakan Arah Kepada Mangsa Rogol

Perogol Gunakan Taktik Bertanyakan Arah Kepada Mangsa Rogol

0
SHARE

SHAH ALAM – Seorang gadis berusia 22 tahun dirogol dan disamun selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang berpura-pura bertanya arah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam, apabila mangsa baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, di sini dan menghala ke sebuah hentian bas, didatangi suspek.

Katanya, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu berpura-pura bertanyakan arah kepada mangsa, yang juga seorang pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.

“Pada masa sama, suspek mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta dan menghala ke kawasan kilang berhampiran sebuah apartmen di Seksyen 7, di sini.

“Suspek memberhentikan kereta di kawasan gelap dan merogol mangsa, selain merampas wang tunai RM100 dan telefon bimbit milik mangsa.

“Dia kemudian mengarahkan mangsa turun dari kereta dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata, mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi memburu suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol, Seksyen 392 dan 397 kanun sama iaitu merompak dengan bersenjata serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Maklumat mengenai kejadian itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp, yang antara lain menyebut mangsa disamun dan dirogol di Seksyen 7, Shah Alam sebelum dibantu kakaknya membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, di sini.