ADUN Pembangkang Disiasat Polis Susulan Kes Pukul Wanita

ADUN Pembangkang Disiasat Polis Susulan Kes Pukul Wanita

0
SHARE

IPOH – Polis sedang menyiasat kes seorang ADUN daripada parti pembangkang yang didakwa memukul seorang wanita hujung bulan lepas, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby.

Menurut laporan Bernama, beliau dipetik berkata bahawa setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak lima laporan polis daripada pemimpin parti politik dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara tersebut.

“Siasatan akan diteruskan walaupun wanita yang didakwa dipukul itu telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

ADUN pembangkang tersebut didakwa menumbuk wanita itu di bahagian pipi selepas berlaku perselisihan faham selain turut bertindak mencuri wang tunai serta barangan peribadi wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MyPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid bersama-sama dua anggota NGO membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini berhubung kejadian pukul itu yang turut tular di laman sosial sejak semalam.

“Ini (sekiranya kejadian pukul  itu betul-betul berlaku) satu tindakan zalim dan tidak seharusnya dilakukan oleh seorang wakil rakyat. Perbuatan memukul wanita tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin,” katanya ketika ditemui pemberita.