KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji kereta api Sabah yang dibangkitkan semula oleh Warisan, yang gagal menunaikan janji sama sewaktu memerintah 2018–2020.
Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk John Ambrose berkata, rakyat harus berhati-hati dengan “janji besar” Warisan yang hanya sekadar sandiwara politik.
“Warisan patut jelaskan rekod mereka sendiri sebelum menegur pihak lain. Perbincangan mengenai laluan kereta api Kota Kinabalu–Kudat sepanjang 175 km tidak pernah melepasi tahap kajian kebolehlaksanaan,” katanya.
John menegaskan, Warisan kini cuba mengitar semula idea lama tanpa pelan jelas dan sumber pembiayaan, sedangkan kos projek asal dianggarkan RM5.2 bilion.
“Jika mereka gagal melaksanakan projek ini dulu, mengapa rakyat Sabah harus percaya hari ini?” soal beliau.
Beliau menekankan rakyat perlu fokus kepada strategi pembangunan realistik. “Sabah layak mendapat perancangan jangka panjang, bukan janji manis yang dikitar semula,” ujarnya.
John juga menegaskan, GRS mengambil langkah praktikal dan bertanggungjawab termasuk mengemaskini penilaian teknikal, menyemak laluan cadangan dan berkoordinasi dengan kerajaan Persekutuan untuk memastikan keutamaan Sabah dimasukkan dalam kajian Trans-Borneo Railway.
“Tidak seperti Warisan, kami tidak buat janji terburu-buru. Projek mega perlu perancangan teliti, bukan slogan politik,” kata beliau.
Beliau turut menyinggung kegagalan Warisan dalam pengurusan konsesi air dan kelewatan Projek Lebuhraya Pan-Borneo akibat keputusan tergesa-gesa.
“Sekarang Shafie mahu hidupkan semula projek yang dia sendiri akui gagal kerana tiada dana,” katanya.
GRS menegaskan pendekatan mereka adalah realistik, berfokus kepada persediaan rapi dan kelestarian pembangunan Sabah, berbanding janji besar tanpa pelaksanaan oleh Warisan.






