LAHAD DATU – Proses mengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini bermula pada pukul 8 pagi tadi.
Tinjauan di Pusat Mengundi Awal Dewan Serba Guna Batalion 17 Pasukan Gerakan Am Lahad Datu di Daerah Sepagaya mendapati, warga PGA dan pasangan beratur untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing seawal pukul 7 pagi.
Sebanyak dua saluran mengundi dibuka dan proses pengundian akan berlangsung sehingga pukul 5 petang ini.
Di sini, seramai 578 anggota termasuk pasangan terlibat dalam pengundian awal.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom bersama delegasi hadir bagi memantau perjalanan proses pengundian di sini.
Turut kelihatan, calon GRS DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah hadir ke pusat mengundi.
PRU Sabah ke-17 menyaksikan 596 calon bersaing bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan (DUN) yang dipertandingkan.
Di Silam, antara calon yang bertanding selain Mizma, Abdul Halim Gulam Hassan (PH), Sharif Musa Sharif Mabul (BN), Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).






