KOTA KINABALU, SABAH – Semua jenis kedai runcit, serbaneka dan pasaraya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam bermula Jumaat (1 Oktober) ini.
Bagi kompleks membeli belah, hanya sub sektor yang telah dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat ini.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bagi stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 5 pagi hingga 12 tengah malam.
“Pengusaha restoran termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya dalam sebuah kenyataan malam tadi.
Beliau berkata pengecualian syarat lengkap vaksin boleh dimohon bagi individu yang telah diberi vaksin jenis AstraZeneca untuk memasuki premis.
“Individu yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca boleh membuat permohonan pengecualian syarat lengkap vaksinasi bagi memasuki premis untuk bekerja dan sebagainya…
“Majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terlibat, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua,” Masidi berkata.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan penjarakan sosial ketika masih dalam pandemik COVID-19.
“Individu yang bergejala, berisiko atau merupakan kontak rapat perlu menjalani saringan terutama bagi individu yang mempunyai ahli keluarga yang berisiko seperti warga emas, penyakit kronik dan komorbiditi serta kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum layak untuk divaksin…
“Langkah-langkah ini amat perlu bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata lumulatif penduduk Sabah yang telah menerima vaksin dos 1 setakat Isnin lalu 2,279,823 orang.
Ini meliputi 2,032,832 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 73.7 peratus jumlah penduduk dewasa.
Manakala bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap adalah seramai 1,761,663 orang.
“Daripada jumlah ini, seramai 1,761,448 orang atau 63.9 peratus adalah penduduk dewasa,” jelasnya.