KOTA KINABALU: Pengendalian taska dan tadika tanpa lesen sah bukan sahaja menjejaskan mutu pendidikan awal kanak-kanak, tetapi turut mengundang risiko keselamatan yang serius, tegas Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Prof. Dr. Morni Kambrie.
Beliau berkata, penguatkuasaan terhadap institusi pendidikan awal di Sabah perlu diperketat bagi memastikan setiap pusat pembelajaran mematuhi piawaian minimum ditetapkan kerajaan.
“Kita masih dapati ada taska dan tadika beroperasi tanpa pendaftaran sah, tiada guru berkelayakan serta tidak mematuhi nisbah guru kepada murid.
“Keadaan ini membahayakan keselamatan kanak-kanak dan menjejaskan proses pembelajaran mereka,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA kali ke-11 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu meningkatkan pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha yang melanggar undang-undang.
“Pendidikan awal bukan sekadar tempat menjaga anak, ia asas kepada pembentukan modal insan negara. Kalau asas ini longgar, kesannya akan berlarutan apabila mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi,” tegasnya.
Beliau berkata, langkah penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum tetapi mendidik pengusaha agar menambah baik kualiti perkhidmatan melalui latihan dan bimbingan profesional yang konsisten.
Dalam majlis yang meraikan seramai 96 graduan SIDMA, termasuk 75 daripada program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof. Dr. Morni menzahirkan komitmen kolej itu untuk terus melahirkan tenaga pengajar berkelayakan bagi menyokong usaha kerajaan memperkukuh sektor pendidikan awal.
Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Pengurusan Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti MAIWP, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di SIDMA telah terbukti berjaya melahirkan pendidik profesional yang memahami keperluan perkembangan anak secara holistik.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan tidak berakhir dengan penganugerahan diploma, sebaliknya satu perjalanan sepanjang hayat untuk membentuk insan berintegriti dan berdaya saing.
Pada majlis itu, Tracey Jefirin dari Kota Marudu diumumkan sebagai Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2025 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Kolej SIDMA turut memperkukuh akademiknya melalui kerjasama strategik dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), menawarkan laluan fleksibel ke peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah bagi melahirkan lebih ramai pendidik berkualiti di Sabah.






